Isu Hak Melayu


Isu hak Melayu bagai jolok sarang tebuan


August 08— Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua, dari DAP mencadangkan supaya diskaun Bumiputera untuk hartanah komersial dan kediaman mewah di Selangor dihapuskan. Alasannya, ia mampu memberi persaingan dan menarik pelabur terhadap sektor hartanah di negeri itu.

Cadangan itu menimbulkan pelbagai reaksi masyarakat. Artikel ringkas ini cuba untuk mengulas isu cadangan ini dari sudut implikasi ekonomi dan sosial. Pandangan di sini merujuk kesannya ke atas ekonomi dan sosial kerana kedua-duanya tidak boleh dipisahkan.

Dalam menilai sesuatu dasar seperti cadangan menghapuskan diskaun Bumiputera, kita harus melihat dari segi kos dan faedah pelbagai pilihan yang ada supaya warga dalam masyarakat demokrasi dapat membuat pilihan lebih baik sebelum sesuatu polisi itu dilaksana atau digantikan.

Seperti diketahui, Dasar Ekonomi Baru (DEB) bermatlamat secara umumnya menghapuskan kemiskinan dan menyusun semula masyarakat bagi mengelak pengenalan sesuatu kaum berasaskan fungsi ekonomi.

Dalam mencapai matlamat menyusun semula masyarakat ini, antara strateginya ialah menambah pemilikan Bumiputera dalam bentuk hartanah melalui potongan harga khas atau diskaun yang diberikan kepada mereka.

Memang tidak dinafikan, berdasarkan teori ekonomi, sebarang herotan (distortion) pasaran menyebabkan ketidakcekapan dalam pasaran kerana menyebabkan agihan sumber tidak cekap.

Dalam konteks ini, wujudnya dualisme dalam harga pasaran hartanah yang menyebabkan wujud ketidakcekapan dan halangan kepada daya saing ekonomi negara. Ia dikatakan sebegitu disebabkan herotan ini, pasaran perumahan kurang penawaran daripada tahap optimumnya. Inilah dimaksudkan Pua agaknya apabila dia mengatakan dapat menarik pelabur memanfaatkan sektor hartanah di Selangor jika diskaun untuk Bumiputera dihapuskan.

Bagaimanapun, untuk menyatakan tanpa diskaun Bumiputera ini, pasaran secara automatik menjadi kompetitif dan berdaya saing adalah satu kenyataan yang simplistik. Ekonomi bukan semudah itu.

Banyak faktor bertindak balas dalam pasaran. Antaranya, kestabilan politik dan sosial mempengaruhi prestasi sesebuah ekonomi (dalam konteks negara kita, faktor keharmonian kaum sangat penting).

Kalau kita lihat pencapaian Bumiputera dalam pemilikan harta jauh daripada apa yang disasarkan dan ia amat jauh ketinggalan berbanding pemilikan kaum Cina.

Berdasarkan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), 2006-2010, yang diterbitkan oleh Unit Perancang Ekonomi, pada 2007, pemilikan oleh Bumiputera hanya 15.7 peratus bagi bangunan dan 29.2 peratus bagi kategori kompleks perniagaan berbanding masing-masing 72.6 dan 69.4 peratus dimiliki kaum Cina.

Jika dilihat dari segi pemilikan premis perindustrian ia lebih mendukacitakan. Pemilikan Bumiputera hanyalah 3.5 peratus berbanding 87.2 peratus oleh kaum Cina.

Oleh itu, jika diskaun Bumiputera hartanah komersial dihapuskan, matlamat memperbetulkan ketidakseimbangan dalam pemilikan hartanah pasti tidak tercapai malah akan melebarkan lagi jurang ekonomi antara kaum.

Keadaan ini pasti merapuhkan keharmonian kaum dan sosial seterusnya kestabilan negara. Apabila ini berlaku, bagaimana kita boleh menumpukan kepada kesejahteraan ekonomi? Perlu diingatkan satu daripada objektif Wawasan 2020 ialah melahirkan masyarakat adil dengan keseimbangan ekonomi antara kaum.

Ahli ekonomi Britain, Dudley Seers, pernah berkata pembangunan bukan hanya pertumbuhan ekonomi semata-mata. Ia membabitkan kedua-dua aspek ekonomi dan sosial.

Beliau menilai pembangunan sebagai mengambil kira isu kemiskinan, pengangguran dan ketidaksamaan. Pandangan ini menunjukkan pembangunan perlu menguta-makan peningkatan dalam kesejahteraan sosial, bukannya sebagai hasil sampingan pertumbuhan ekonomi.

Bekas Canselor Jerman, Willy Brandt, atas kapasiti Pengerusi Isu Pembangunan Antarabangsa, pernah menulis bahawa pembangunan membawa bersamanya bukan saja idea peningkatan ekonomi malah peningkatan dalam maruah manusia, keselamatan, keadilan dan ekuiti.

Dalam hal ini, mesej yang ingin disampaikan ialah apa maknanya andai wujud pertumbuhan ekonomi yang pesat tanpa keseimbangan ekuiti. Lebih relevan lagi soalannya, apakah boleh wujud pertumbuhan ekonomi tanpa keseimbangan ekuiti?

Oleh itu, apa yang lebih penting akhirnya ialah bagaimana kita dapat meningkatkan kecekapan dan daya saing ekonomi negara tanpa menjejaskan kestabilan politik dan sosial.

Bagaimanapun, dalam jangka masa panjang, kita tidak boleh menjadikan ia sebagai alasan untuk menidakkan matlamat menjadikan ekonomi negara cekap dan kompetitif seperti yang digariskan dalam Model Baru Ekonomi (MBE).

Dalam konteks dasar penggalakkan pemilikan harta Bumiputera, mungkin dasar ini boleh disemak untuk kategori hartanah yang bernilai tinggi yang mana sudah dipastikan kategori ini hanya mampu dimiliki oleh golongan yang benar-benar tidak memerlukan diskaun. Mungkin juga, kadar diskaun untuk Bumiputera ini diberikan secara lebih regresif untuk nilai hartanah yang melebihi sesuatu tahap. Mungkin juga, insentif lain perlu dicari yang mana insentif ini tidak akan memberi kesan herotan kepada pasaran.

Mungkin juga, kita boleh memberi tempoh bertenang sebelum apa-apa perubahan dasar ini dilaksanakan. Apa yang harus kita fahami ialah sukar untuk mempertahankan dasar seperti ini selama-lamanya jika kita ingin menjadi negara yang cekap dan kompetitif seperti digariskan MBE.

Tidak dapat tidak, tiba masanya nanti, dasar seperti ini dihapuskan. Oleh itu, pada masa depan, Bumiputera perlu bersedia dengan keadaan tiada lagi campur tangan oleh kerajaan sebagai jaringan keselamatan.

Mohd Zaini Abd Karim — Berita Minggu


sumber:-http://www.pribumiperkasa.com/perkasa/?p=2773

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Facebook Kami