Dendam Lee Kuan Yew Kepada Malaysia Tidak Pernah Padam.




Menteri Mentor Singapura, Lee Kuan Yew mengulangi kecamannya terhadap sistem politik Malaysia kerana mengamalkan diskriminasi kaum, menyisihkan bukan Melayu dengan dasar memberikan kedudukan istimewa kepada orang Melayu.

Lee Kuan Yew yang telah pun berusia 87 tahun dan berada dalam keadaan uzur, di samping menghadapi isterinya, 89 tahun yang kini tidak boleh lagi bercakap sejak diserang strok dua tahun lalu, nampaknya menyimpan dendam dan harapan yang tidak kunjung padam di atas kegagalannya menegakkan Malaysian Malaysia di Malaysia lebih 40 tahun lalu.

Gagasan itu telah tersingkir bersama dengan penyingkiran Singapura dari Malaysia tetapi telah menampakkan kesegarannya semula setelah Pilihan Raya Umum (PRU) 2008 sekali gus memberi nafas baru kepada DAP yang mewarisinya, malah semakin nampak maju ke hadapan dengan DAP mendapat sokongan daripada parti parti pembangkang Melayu.

Adalah tepat kenyataan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Khairy Jamaluddin bahawa kenyataan Lee Kuan Yew yang dilontarkan dalam suasana Malaysia sekarang merupakan suatu hasutan, ibarat menjirus minyak ke atas api, menyalakan perasaan perkauman dan membantu merungkaikan ikatan sosial di Malaysia.

Kenyataan Lee Kuan Yew itu lebih berpotensi untuk memarakkan perasaan marah orang Cina Malaysia yang sekarang memahami 1Malaysia sebagai Malaysian Malaysia.

Dalam pada itu, berasaskan kepada tulisan-tulisan yang disiarkan oleh akhbar-akhbar di Singapura dan luar negara, ternyata keadilan sosial yang didakwa oleh Lee Kuan Yew sebagai amalannya tidak dapat dirasakan oleh generasi baru Singapura.

Mereka tidak dapat melihat kebenaran kata-katanya itu kerana mereka merasakan lebih tertekan dan teraniaya melihat kebebasan yang dinikmati oleh jiran terdekat mereka, Malaysia. Rakyat Malaysia bebas bersuara terhadap perasaan tidak puas hati mereka, malah boleh mempersendakan lagu kebangsaan negara!

Rakyat Singapura sudah berpuluh tahun hidup dalam ketakutan untuk bertindak dan bersuara secara berkumpulan atau secara individu termasuk dalam beberapa hal, mereka tidak bebas untuk mengamalkan agama, budaya dan cara hidup masing-masing. Umpamanya, pembakaran gaharu tidak dibenarkan di rumah-rumah pangsa dan azan dari masjid dan surau tidak boleh kuat suaranya.

Lee Kuan Yew tidak memberikan apa yang diberikan oleh Malaysia kepada generasi barunya iaitu udara kebebasan baru yang merungkai sistem kawalan sosial supaya setanding dengan dunia demokrasi dan nilai globalisasi.

Dalam temu bual dengan Seth Mydans untuk akhbar New York Times baru-baru ini, Lee Kuan Yew telah menegaskan sekali lagi pendiriannya untuk tidak menukar sistem pemerintahan Singapura dengan menolak tuntutan generasi baru untuk keterbukaan politik kerana ia membuka pintu kepada politik perkauman dan akan memecah-belahkan masyarakatnya (Lihat The New York Times 2010 http://bit.lydtbcMF)

Tetapi generasi baru Singapura tidak lagi percaya kepada doktrin itu. Mereka sedang berjuang secara senyap di dalam dan di luar negara untuk merungkaikan kawalan sosial yang membelenggu hidup mereka secara authoritarian dan mereka akan melakukannya dengan lebih berani apabila tangan Lee Kuan Yew tidak kelihatan lagi.

Bagaimanapun, sementara menunggu saat bahagia itu tiba, mereka memerlukan sokongan moral terutama dari luar negara. Menurut New York Times, generasi muda Singapura membimbangkan Lee Kuan Yew dengan tuntutan bagi mendapatkan kebebasan politik yang lebih luas dan juga kebebasan untuk bertukar fikiran dalam era Singapura yang moden.

Generasi muda negara itu sedang menunggu dengan sabar saat kebebasan itu datang kerana menurut laporan New York Times itu lagi, Lee Kuan Yew semakin lemah sekarang dengan menderita tekanan jiwa berhadapan dengan keadaan isterinya yang terlantar.

Namun begitu, Lee Kuan Yew tetap mempunyai semangat yang tinggi dan tetap mengenangkan perpisahan Singapura dari Malaysia sebagai sesuatu yang amat menyakitkannya, tetapi lupa dia meninggalkan warisannya di Malaysia iaitu Malaysian Malaysia yang menjadi duri dalam daging di negara ini dan amat menyakitkan hati sebahagian besar rakyat Malaysia.

Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia sepatutnya bersimpati dengan harapan generasi baru Singapura itu dan membantu memberikan semangat yang kuat kepada mereka untuk mewujudkan Singapura baru yang dapat mengecap udara kebebasan serta demokrasi sesuai dengan kedudukan dan taraf Singapura sebagai negara maju. Pada hari ini, Singapura dilihat sebagai negara maju yang mengamalkan demokrasi dunia ketiga.

Sebagai sokongan moral, Pemuda UMNO Malaysia patut menghantar memorandum kepada Menteri Mentor Singapura dengan salinannya kepada Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu bagi mendesaknya memberikan kebebasan media dan kebebasan bergerak kepada parti-parti politik lain, selain daripada PAP demi keadilan sosial di Singapura.

Dengan itu, beliau dapat melihat rakyat Singapura menyanjungnya semasa beliau hidup dan tidak mengutuknya selepas beliau mati. Sekurang-kurangnya dalam hal ini, Singapura patut meniru Malaysia. Lee Kuan Yew akan dapat melihat kegelisahan rakyatnya yang terpendam ini di sebalik segala kemewahan Singapura jika Malaysia membuka pintunya kepada rakyat Singapura untuk penghijrahan bagi pemastautin tetap atau untuk menjadi rakyat negara ini.

Pintu Malaysia akan pecah seperti pecahnya Tembok Berlin dengan pelarian rakyatnya sekali gus akan membuktikan mereka tidak mempunyai kepercayaan terhadap masa depan Singapura.

Apa salahnya untuk Pemuda UMNO Malaysia sekadar menghantar memorandum kepada Lee Kuan Yew, sedangkan bekas Perdana Menteri Singapura itu telah menceroboh dalam pengurusan politik Malaysia.

sumber :-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Facebook Kami