Cari sebab kenapa Melayu dipertikai di bumi sendiri



KUALA LUMPUR: Orang Melayu harus berfikir secara kritis
dan mencari sebab mengapa nasib,
hak dan perjuangan mereka sering dipertikaikan di bumi sendiri, kata Menteri Pertahanan,
Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Ahmad Zahid, yang juga Naib Presiden Umno, berkata sikap orang Melayu yang
terlalu bertolak-ansur akhirnya akan menyebabkan maruah dan prinsip mereka
dipermainkan sewenang-wenangnya oleh pihak yang mempunyai kepentingan
tertentu.

"Orang Melayu itu terlalu bertoleransi, orang Melayu itu terlalu kumulatif,
orang Melayu sering bertolak ansur, sehingga akhirnya ditolak secara beransur-ansur.

"Jangan dengan sikap bertolak ansur ini, kita sanggup menanggalkan harta
dan maruah keindukan kita...dengan mempasrahkan sebarang sistem nilai yang sedia
ada pada kita untuk kita pasar-malamkan dan boleh dibeli dengan murah oleh
sesiapa sahaja," katanya ketika berucap pada majlis perasmian buku 'Nasib Melayu
di Bumi Melayu' di Perpustakaan Negara Malaysia di sini hari ini.

Ahmad Zahid berkata buku hasil penulisan Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah itu
mampu mengubah persepsi tentang nasib Melayu yang mana ia akan dilihat dalam
perspektif yang lebih luas dan dinilai secara holistik.

Turut menghadiri majlis pelancaran buku itu ialah Naib Canselor
Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) Lt Jen Datuk Wira Allatif Mohd
Noor, Pensyarah Fakulti Sains Pertahanan dan Pengurusan UPNM Datuk Dr Wan Hashim
Wan Teh dan bekas Pengurus Besar Bernama Datuk Seri Azman Ujang.

Terdahulu, Allatif dalam ucapan pembukaannya berkata, buku itu merupakan
satu karya akademik yang perlu bagi memangkin bicara mengenai bangsa Melayu.

"Buku ini menyentuh maruah dan kelangsungan Melayu, dan ia dilihat berdepan
dengan risiko yang amat tinggi, lebih-lebih lagi kerana ia merupakan karya
seorang ahli akademi yang bukan Melayu.

"Bagaimanapun, saya pasti di kalangan masyarakat umum terutama akademia
Melayu pasti akan melihatnya dari pelbagai perspektif dan dimensi yang
tersendiri," katanya.

Buku itu sebahagian daripada perhimpunan tulisan Mohd Ridhuan
dalam akhbar Mingguan Malaysia dan majalah Al-Islam. Ia banyak berkisar tentang
politik silang budaya, terutama antara Melayu dan bukan Melayu.

Buku ini dijual di pasaran dengan harga RM22.50 senaskhah dan boleh
diperoleh di semua kedai buku utama di seluruh negara ataupun melalui laman web
http://www.mybooks.com.my. -- BERNAMA

sumber:-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Facebook Kami