Aku antara manusia yang amat rajin berbual dengan peminta sedekah dan pengemis. Wang yang diberikan itu rahsia, cuma perbualan itu perlu aku sampaikan kepada anda semua. Isu
peminta sedekah dan pengemis ini hampir berkait dengan pemerdagangan
manusia, iaitu menggunakan manusia secara paksaan untok mencapai
keuntungan seorang pihak.
Bulan lepas, aku makan Burger Bakar Abang Burn di Shah Alam, kemudian
semasa menjamu selera, kami didatangi oleh seorang budak perempuan
berbaju batik bewarna hijau tua. Dia membawa tabung, sebotol ubat dan
begnya penuh dengan kotak ubat. Aku renung sedalam-dalam wajah budak
perempuan ini hingga dia berasa tidak selesa. Wajah dia kelihatan
menyampah diperlakukan sebegitu, mungkin dia berfikir aku ingin mengurat
dia, padahal aku mahu memerhatikan sifat luarannya.
Dari segi luaran, tubuhnya sihat, tetapi penat. Cantik, tetapi gelap.
Tersenyum tetapi bersedih. Ini menandakan ada satu tolakan dalam
jiwanya.
Oleh kerana dia tidak selesa dengan aku, dia pun bercakap dengan sahabat
aku. Dia kata dia berasal daripada sekolah agama di Kedah. Dia
menunjokkan 'resit' kosong sekiranya ada pembeli yang ingin membeli
ubatnya, bercop Maahad apa entah, aku pun lupa. Dia mempromosikan ubat
tersebut, namun wajahnya kelihatan benar-benar terpaksa melakukan kerja
itu. Dia seperti berharap agar kami tidak membeli ubat itu.
Sahabat aku menghulur wang, kemudian perempuan itu memandang aku. Aku berpura-pura mengeluarkan dompet, kemudian terus bertanya,
"Betul ke awak ni asal daripada Maahad kat Kedah ni?"
"Ya la bang. Kan saya dah tunjuk resit tadi."
"Memang Maahad ni ada kat Kedah je lah ya?"
"Ya.Dia memang ada satu je. Kat Kedah."
"Tak sekolah ke hari ni?"Aku menguji.
"Hari ni kan hari Ahad. Mana ada orang sekolah hari Ahad."
Dah 1-0. Sekolah dibuka hari Ahad hingga Khamis dan bercuti pada Jumaat dan Sabtu di Kedah.
"Habis tu, macam mana awak boleh ada kat sini? Balik macam mana ni?"
"Malam ni saya baliklah." Wajahnya kelihatan geram dan meluat melihat wajah aku. Ini tanda yang baik untok dia bercakap benar."
"Balik mana?"
"Balik sekolahlah."
"Naik apa?"
"Naik kereta. Ada orang hantar. Cepatlah,Bang. Orang lain nak beli juga
ubat ni." Apa yang aku perasan, matanya sekejap-sekejap memandang ke
luar tempat makan. Dalam pada masa yang sama, aku terperasan seorang
lelaki sedang berdiri seperti menunggu order, tetapi tidak. Dia
memandang gerak geri kami.
"Naik kereta nak balik ke Kedah?"
"Abang ni gila ke apa? Balik KL lah! Sekolah ni ada cawangan kat sini."
"Eh, kata ada satu je kat Kedah? Macam mana boleh ada cawangan pula?
Korang ni sekolah apa sebenarnya? Siapa yang hantar awak kat sini?
Cikgu?"
Dia senyap. Tetapi mukanya seperti marah. Aku hanya tersengih.
"Kenapa kamu dipaksa buat macam ni? Sejak bila kamu buat kerja macam ni?" Aku terus pressure dia.
Dia diam seribu bahasa dengan wajah yang merah padam. Tetapi oleh kerana
aku perasan lelaki tersebut mahu ke arah kami, aku terus memberi wang
kepada budak perempuan itu. Tanpa mengucapkan terima kaseh, dia terus
pergi ke meja lain. Lelaki itu berhenti, kemudian berpatah balik ke
tempat order, sambil memerhatikan budak perempuan itu.
Beberapa minggu kemudian, aku mengisi minyak di R&R Seremban, datang
seorang budak perempuan, berpakaian sama dengan budak perempuan yang
aku jumpa tadi.
"Bang..Saya ada jual buku."
Aku bertanya, "Kamu ni dari mana?"
"Saya dari Maahad di Kedah." Dia tunjokkan resitnya. Sama dengan budak perempuan hari itu.
Dalam hati aku ketika itu, ini merupakan sindiket paling hina di
Malaysia. Menggunakan agama bagi kepentingan, itu satu hal. Menggunakan
budak perempuan naif, satu hal. Menggunakan budak yang memerlukan
pendidikan sempurna, satu hal lagi. Apabila melihat pengemis atau
penjual seperti ini, fikiran aku pasti menerobos filem Slumdog
Millionaire, yang benar-benar menunjukkan cara sindiket ini berlaku.
Cari kanak-kanak susah, kemudian culik, kemudian dihantar ke
negara-negara luar atau negeri yang jauh, kemudian mereka 'ditugaskan'
untok membuat kerja seperti mengemis, menjual barang agama dan menyanyi
di tepi jalan. Setiap hari, tanpa rehat. Semua hasil sedekah itu
dirembat oleh sindiket berkenaan.
Bayangkan sekiranya dalam sehari, di seluruh Malaysia, sindiket tersebut
menghantar 400 orang pengemis mereka. Setiap daripada mereka membawa
pulang hasil RM1000. Berapa keuntungan team sindiket ini dalam sehari?
Hampir RM400k. Itu belum lagi dengan keuntungan yang lain. Apa yang 400
pengemis ini dapat? Hanya lauk tengah hari, dan makan malam sahaja.
Mereka akan diberikan tugasan, setiap orang perlu membawa pulang hasil
minima RM500. Sekiranya mereka tidak berjaya, mereka akan diseksa dan
didenda.
Di Malaysia, sekiranya kita melihat anak-anak Melayu yang meminta
sedekah secara 'ada team' ini, mereka adalah bayi yang pernah diculik
tidak lama dahulu. Apabila mereka remaja, mereka dipaksa meminta
sedekah. Namun, jangan terkejut, peminta sedekah ini, apabila mereka
dewasa, mereka akan menjadi pelacur pula.
Sindiket Pemerdagangan Manusia amat serius dalam masyarakat. Setiap hari
ada kanak-kanak dan bayi hilang tanpa dikesan. Itu tanda bahawa mereka
yang hilang itu sudah dijadikan 'modal' sesetengah sindiket untok
kepentingan sendiri.
Moga Allah menjauhkan sejauh-jauhnya berlaku pada saudara mara kita, adik-adik kita, keturunan kita dan sesiapa sahaja. Amin.
P/s : Sumber : Facebook